PMR Bermula Hari Ini

13 Oktober 2008

Seramai 4046 orang pelajar Tingkatan 3 dari 22 buah sekolah menengah daerah Segamat dan sebuah sekolah menengah swasta mula menduduki peperiksaan ‘Penilaian Menengah Rendah’ (PMR) mulai hari ini (13 Oktober 2008) sehingga 17 Oktober 2008 (Jumaat).

>Berita Lanjut…

Alfatihah

5 Oktober 2008

Encik Abd Aziz bin Yusof (SK Bukit Tunggal) yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari ini di Seremban akibat serangan sakit jantung.

Alfatihah…

>Berita lanjut

Peperiksaan Pendidikan Moral, al-Quran dilewat setengah jam

20 September 2008

JOHOR BAHRU 20 Sept. - Jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah yang dijadual berlangsung pada 18 November ini akan dilewatkan setengah jam.

Menurut Pengarah Peperiksaan Kementerian Pelajaran, Dr. Salbiah Ismail, pindaan itu dibuat bagi memberi lebih ruang kepada pelajar yang mengambil kedua-dua subjek itu.

Dengan keputusan tersebut katanya, jadual untuk dua subjek terbabit berubah dari pukul 2 petang ke pukul 2.30 petang.

“Kami memang ada menerima rungutan orang ramai yang meminta peperiksaan Pendidikan Moral dipinda ke 19 November untuk dijalankan bersama Pendidikan Islam kerana jadual peperiksaan pada 18 November amat padat.

“Bagaimanapun kementerian tidak boleh mengubah hari untuk kertas itu kerana setelah daftar peperiksaan disemak, ada sebilangan calon mengambil kedua-dua subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam. Jadi, bagaimana calon hendak menduduki peperiksaan dua mata pelajaran itu serentak,” katanya.

Beliau diminta mengulas permintaan ibu bapa yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam supaya waktu itu dipinda.

Dr. Salbiah ditemui semasa menghadiri mesyuarat permuafakatan antara pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran dengan pemimpin 25 kesatuan guru dari seluruh negara di sini hari ini.

Mengikut jadual, sebahagian calon SPM pada 18 November ini akan menduduki kertas Matematik Tambahan 1 dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi, Matematik Tambahan 2 (10.30 pagi hingga 1 petang) diikuti Pendidikan Moral atau Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah (2 petang hingga 4 petang).

Beliau berkata, sebagai langkah terbaik, kementerian memutuskan untuk melewatkan peperiksaan Pendidikan Moral serta al-Quran dan As Sunnah itu bermula pada pukul 2.30 petang dan berakhir pada pukul 5 petang.

“Kami berharap semua pihak menerima keputusan ini. Sebenarnya, draf jadual sebelum ini sudah dibuat dua tahun lalu dan diedar kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk disemak,” ujarnya.

Beliau berkata, apabila tiada bantahan, kementerian mengeluarkan jadual itu pada Julai lalu kepada sekolah dan pelajar.

Guru dinasihat tumpu tugas hakiki

20 September 2008

JOHOR BAHRU 20 Sept. - Golongan pendidik dinasihatkan tidak terganggu dan terpesong dengan iklim politik semasa, sebaliknya terus komited memberikan sepenuh perhatian terhadap tugas hakiki iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, kerajaan mengharapkan semua guru terus profesional melaksanakan tugas mereka.

Beliau berkata, guru-guru usah ’sibuk’ menjadi penganalisis politik semasa di sekolah, sebaliknya hendaklah menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas hakiki mereka.

”Saya tahu sejak enam bulan kebelakangan ini keadaan politik tidak menentu tetapi tidak usahlah kita sibuk menjadi penganalisis politik.

”Terus tumpukan perhatian kepada akademik dan usaha membentuk sikap, sahsiah dan pembentukan diri anak-anak kita,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat permuafakatan dengan 25 pemimpin kesatuan guru di seluruh negara dan pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Razali yakin kira-kira 360,000 pendidik di seluruh negara tetap profesional dalam melaksanakan tugas mereka dan tidak mudah terganggu dengan keadaan politik semasa.

130 PPD naik pangkat

20 September 2008

KUALA TERENGGANU 20 Sept. - Lebih 130 pegawai pendidikan daerah (PPD) di seluruh negara dinaikkan pangkat kepada gred DG52 bagi memudahkan pengurusan dan pentadbiran di sekolah-sekolah di bawah penyeliaan mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini telah meningkatkan skim perkhidmatan semua PPD daripada pangkat DG44 dan DG48 kepada DG52 iaitu setaraf dengan gred pengetua sekolah.

Katanya, kenaikan skim perkhidmatan ini akan membolehkan mereka memiliki kuasa pentadbiran lebih berkesan terhadap pengetua-pengetua sekolah di bawah seliaan mereka.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bubur lambuk anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan UMNO Kampung Masjid Tok Ku di sini hari ini.

Razali berkata, kementerian juga sedang mengkaji masalah guru terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian di sekolah-sekolah sehingga mengganggu tumpuan mereka terhadap pembelajaran dalam kelas ekoran kekurangan kakitangan sokongan.

Menurutnya, kementerian akan meminta JPA supaya meluluskan lebih banyak staf-staf sokongan terutama kerani supaya guru-guru berkenaan tidak lagi perlu melakukan kerja-kerja perkeranian.

Sebenarnya ujar beliau, JPA pada tahun ini sahaja telah meluluskan pelantikan kira-kira 8,000 staf sokongan untuk sekolah-sekolah namun ia masih belum mencukupi.